Assalamualaikum w.b.t
Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di
dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu
macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti terutamanya pelajar universiti yang ingin mengejar itu dan ini dalam usaha merealisasikan matlamat hidup yang dihajati.
Kadang-kadang hati dan fikiran hanya tertumpu kepada hal-hal dunia sehinggakan masa
untuk kita berhubung mesra dengan ALLAH Ta’ala, berkhalwat dengan ALLAH Ta’ala
sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah dari kita yang tergolong
dari orang-orang yang sedaya upaya mencuri masanya untuk berhubungan ‘heart to
Rabb’ dengan Dia?
Yang parahnya adalah, dalam 1 hari yang dilalui itu, ada manusia
yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kerana kesibukan duniawi yang mengikat diri. Dan dari situ ALLAH Ta’ala, punyai cara yang tersendiri untuk menyedarkan kita dari kelalaian nafsu dunia!!
ALLAH Punya Cara-Nya Sendiri
Dia Maha Penyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada
semua hamba-Nya.
Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu
apabila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau
sendanya dengannya. Begitulah juga halnya dengan kerinduan ALLAH Ta’ala terhadap hamba-Nya.
Tapi, cara manusia dan cara ALLAH Ta’ala memanggil, menyeru dan
berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti
cara manusia. ALLAH Ta’ala punya cara-Nya sendiri. Tapi sayang, dek kerana
lemahnya iman yang ada, sangat sedikit dari manusia (termasuk saya) yang
sedar dan faham akan cara ALLAH menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan
mendampingi-Nya.
Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan
panggilan-panggilan ALLAH supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering
lupa untuk mengingati ALLAH Ta’ala. Sering!
Bagaimana mahu berhubung dengan ALLAH Ta’ala?
Melalui telefonkah?
ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri-Nya
dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh
tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan
meluahkan masalah dalam hidup.
Ini soal pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada
Tuhannya!
ALLAH Ta’ala yang menurunkan bala bencana dan ALLAH Ta’ala
jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita.
Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah
secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati
lapang dan gembira serta tersenyum tawa dengan hati yang riang? Mengapa ALLAH Ta’ala turunkan suatu masalah yang sangat menghimpit jiwa secara tiba-tiba
tanpa sebarang alamat?
Maka, itulah sebenarnya maksud dan perancangan ALLAH Ta’ala pada
setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa
untuk bersama-Nya. Setiap kali ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia
melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, ALLAH mahu manusia menyahut
panggilan-Nya dengan berusaha merapat pada-Nya melalui solat, doa dan munajat.
Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda
ALLAH Ta’ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah
yang menyebabkan ALLAH Ta’ala dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih menyedarkan
manusia dari lamunan duniawi.
Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya!
Saya sendiri, dan anda yang membaca,
tidakkah terasa kecut jiwa untuk mahu tunduk terhadap ALLAH?
Dia, ALLAH Ta’ala. Tuhan kita, sentiasa ada untuk menjaga kita.
Maka, jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.
Semoga bermaanfaat InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment