
Kelazatan iman ini boleh dirasa. Mendengar cerita manisnya gula, tidak akan sama dengan dapat mencicipi rasa gula itu sendiri. Namun begitu, ada masanya, dengan mendengar cerita mereka yang telah merasai lazatnya manisan, membuatkan kita seolah-olah turut merasai sama kelazatannya. Jika kita dapat bersama Saidina Bilal r.a, mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal memerikan betapa manis dan lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan mulutnya masih tega menyatakan, “Ahad! Ahad!”.
Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai oleh Khansa’ r.ha ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan keempat-empat puteranya, lalu berkata, “Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada”. Alam rasa adalah alam yang amat dalam. Kesannya melampaui alam nyata.